Dipersembahkan:Islam

Blog ini untuk semua orang.Harap selepas membaca blog ini akan tmbul satu keinsafan keatas diri pembaca.Semoga anda amalkan apa yg di beritahu...

Jumaat, 7 Januari 2011

KISAH RAJA IBLIS BERTEMU NABI MUHAMMAD S.A.W

kisah Raja Iblis bersoal jawab dengan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah ini saya baca daripada buku tulisan Muhammad Bin Hj. Mohd Said, seorang guru di Madrasah Al-Sibyan, Singapura. Buku tersebut bertajuk “ Kisah Iblis Menghadap Nabi Muhammad S.A.W”. Menurut penulisnya, kandungan buku tersebut dapat memberi nasihat dan pengajaran serta menjadi perisai untuk menolak segala tipu daya syaitan laknatullah. Pesannya melalui pengenalan penulis, bagi sesiapa yang telah membaca kisah ini, diharap dapat menyebarkan kepada sahabat handai yang lain, mudah-mudahan kebaikan berterusan. Insyaallah.

Dalam kisah tersebut, ada 40 soalan yang dikemukakan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada Raja Iblis. Raja Iblis yang berjumpa dengan Baginda Nabi Muhammad setelah Malaikat menyampaikan arahan Allah untuk Raja Iblis bertemu dengan Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Malaikat bertemu Raja Iblis dan menyampaikan perintah Allah, lalu berkata Malaikat, “ Hai, Iblis! Bahawa Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Besar menyuruh engkau bukakan segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad s.a.w itu hendaklah engkau jawab dengan sebenarnya. Jika engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun, nescaya diputuskan segala suku-suku daripada anggotamu dan segala uratmu serta diseksa engkau dengan azab yang amat keras”. Pergilah Raja Iblis bertemu Nabi Muhammad s.a.w. Raja Iblis menyerupakan dirinya seperti seorang tua yang matanya buta sebelah, dan berjanggut putih. Maka, berilah Raja Iblis salam sebanyak tiga kali kepada Baginda Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Raja Iblis bertemu dengan Nabi Muhammad, seorang rasul, pesuruh Allah. Tiada dijawab salam yang diucapkan oleh Raja Iblis itu. Nabi Muhammad mengetahui akan siapa sebenarnya disebalik wajah seorang tua itu. Baginda menerangkan bahawa salam itu sangat mulia, hanya salam engkau wahai iblis tidak dijawab kerana Allah telah mengharamkannya. Selepas itu, bermulalah soal jawab antara Nabi Muhammad dengan Raja Iblis syaita alaihi laknat.

Soalan pertama ialah siapakah seteru yang paling besar kepada iblis? Maka, jawab Raja Iblis, musuhnya yang paling besar adalah Nabi Muhammad s.a.w. Raja Iblis menerangkan bahawa sebarang rupa boleh ditirunya, kecuali sifat Nabi Muhammad kerana ditegah oleh Allah. Raja iblis juga menjelaskan apa sebab dicabutnya iktikad anak adam supaya menjadi kafir. Raja Iblis memberitahu kerana Nabi Muhammad bersungguh-sungguh memberi nasihat mengajak manusia ke arah kebenaran supaya kuat mereka itu kepada agama Islam, begitulah syaitan bersungguh-sungguh menarik sekalian manusia itu kepada kekafiran dan murtad serta munafiq. Membawa ke ajalan yang salah dan berharap bahawa mereka itu akan kekal bersama-samaku di neraka kelak.
Berdasarkan soalan pertama ini dan melihat kepada jawapan yang diberikan, maka sebagai manusia yang telah Allah jadikan sebaik-baik kejadian yang diberi anugerah akal fikiran, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata. Tiada kebahagiaan yang dijanjikan oleh syaitan, keseronokan yang dibisikkan hanyalah janji palsu dan sementara... hanyalah kekal bersama-sama syaitan di dalam neraka di akhirat kelak yang menjadi matlamat syaitan laknatullah. Allah telah bagi kita umat Islam al-quran serta sunnah untuk diikut, bukannya hasutan syaitan yang Allah laknat.

Soalan kedua memperlihatkan fenomena sekarang. Mungkin sejak dahulu sudah ada, tetapi apa yang dilihat, situasi ini semakin teruk pada masa kini. Apa yang ditanya oleh Nabi Muhammad ialah: “Hai, Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah?” Jawapan yang diberikan ialah, “ Ya Nabi Allah! Iaitu satu kemajuan bagi perempuan-perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan sesetengahnya mengeluarkan benih yang bersalah-salahan sifatnya dan syaitan menggoda semua manusia supaya meninggalkan sembahyang dan supaya leka dengan makan minum dan berbuat durhaka, sesetengahnya syaitan lalaikan dengan harta bendanyadaripada emas, perak dan rumahnya serta kebun ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan di atas segala pekerjaan yang haram. Telah banyak lelaki dan perempuan yang terpesung imannya lalu dikerahkan segala bala tentera syaitan daripada jin, iblis dan sayaitan menarik mereka itu kepada jalan derhaka, demekian juga pada temasya yang bercampur lelaki perempuan, maka di situlah syaitan lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah mereka itu hingga minum arak lagi menarik kawan dan memaksa minum arak, maka hilanglah akal dan fikirannya serta hilanglah malunya lalu syaitan menghulurkan tali cinta asyik jadi, terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, maka datanglah dengki hasad hingga membawa kepada perlakuan zina. Maka, apabila telah jadi kasih antara kedua-duanya, maka terpaksalah mereka mencari wang dengan jalan yang haram, dan apabila mereka teringat atas kesalahan dan kesilapan itu lalu hendak bertaubat, maka syaitan halang supaya bertangguh dan bertempoh pada segala pekerjaan kebajikan serta syaitan goda bertambah-tambahlah keras supaya melazimkan maksiat itu dan mengambil isteri orang. Maka, telah berapa ramai umat telah sesat di jalan ini. Dihasut pula anggota serta masuk ke dalam badan. Apabila hatinya digoda, sentiasalah mereka itu takabbur dan riak, melengah-lengahkan amalnya dan sombong. Apabila digoda pada lidahnya, maka sentiasalah mereka berdusta, mencela, menghina, mengumpat. Demekianlah, syaitan menghasut manusia siang dan malam, setiap saat dan ketika”.

Apa yang dapat dikatakan lagi? Jawapan Raja Iblis itu seperti yang berlaku pada zaman sekarang. Berzina dan membuang anak semakin meruncing, suami isteri bercerai disebabkan bersedudukan dengan lelaki atau wanita lain, kes tangkap khalwat tidak lagi orang bujang sahaja, suami atau isteri orang juga ada yang terlibat, kes rogol yang dilakukan tatkala mabuk minum arak, dan pelbagai kes yang sangat kritikal. Ini semua disebabkan manusia mengikut kata – kata syaitan yang hanya ingin melihat manusia tersungkur dilembah kehinaan sepertinya. Meringkuk dalam neraka selama-lamanya bersama-samanya. Syaitan mencari teman untuk bersama-samanya di dalam neraka kelak. Wahai manusia, ikutlah yang dikatakan oleh Allah, seperti yang disampaikan oleh pesuruhNya, Rasulullah, ikutlah Islam, bukan ikut syaitan yang secara keseluruhannya hanya ingin menyesatkan manusia. Mohonlah perlindungan Allah daripada hasutan syaitan. Moga-moga kita terpelihara.

Penulisan ini tidak menyatakan kesemua soalan sebanyak 40 soalan seperti di dalam buku yang Mubtadid baca tetapi hanya mengambil beberapa soalan sahaja.
Soalan Nabi Muhammad yang kesepuluh, “ Bagaimanakah tipudaya engkau kepada umatku?” Maka jawab iblis, “ Umat tuanhamba itu ada 3 macam:- 1) seperti hujan turun dari langit yang menghidupkan segala tumbuh-tumbuhan lagi banyak manfaatnya dan pertolongan kepada lain-lain iaitu guru-guru yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah dan menjauhi segala tegahannya dan kata Jibrail, “ Adapun ulama itu pelita dunia dan pelita akhirat”. 2) umat tuanhamba itu seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan reda akan kurnia Tuhan kepadanya serta berbuat kebajikan dan 3) umat tuanhamba itu keadaannya seperti Firaun terlampau tamak dengan harta dunia dihilangkan amal akhirat. Maka sukacitalah hamba kepadanya, lalu hamba masuk kedalam tubuhnya, hamba putar hatinya menuju ke lautan derhaka. Apabila telah tetap pada jalan kejahatan, maka hamba bawalah dirinya ke mana hamba suka, jadi ia sentiasa bimbang dan risau akan dunia, dan tiada suka menuntut ilmu, sempitkan masa untuk beramal, tiada hendak mengeluarkan zakat hartanya, yang miskin hendak beribadat, hamba goda biar kaya dahulu, bila Tuhan sampaikan cita-citanya, dilupakan untuk beramal, jika terkena sakit, tiadalah sabar, hatinya bimbang akan hartanya, dan sesetengah yang kaya asyik berebut dunia, cakap besar kepada sesama islam dan benci kepada miskin dan menghina mereka dan mengeluarkan harta di jalan maksiat dan menabur harta kepad perempuan jahat dan tempat jufi dan kelab-kelab”.
Maka, itulah golongan yang disukai oleh syaitan. Digodanya untuk bertambah sesat. Dunia dijadikan keutamaan yang tiada tandingan, sehingga akhirat tiada langsung difikirkan dan tiada dalam kamus kehidupan. Wahai teman-teman, sesungguhnya dunia ini hanya jambatan untuk kita ke akhirat, tidak selamanya di dunia ini. Di sinilah kita mencari bekalan pahala, keredhaan Allah untuk membolehkan kita hidup tenang, bahgia, aman dan damai di akhirat kelak. Sesungguhnya akhirat itu kehidupan yang selama-lamanya. Tempat tiada matinya kita. Antara syurga dan neraka, pilihan tempat tinggal kita di akhirat. Segalanya ditentukan dengan kehidupan kita di dunia. Masyaallah, besar sungguh balasan untuk orang yang beriman serta bertaqwa kepada Allah, besar juga azab kepada orang yang ingkar kepada Allah. Allahuakhbar, sesungguhnya tiada apalah pada kita sebagai manusia yang lemah ini. Allah tempat kita mengadu, tuhan yang selayak-layak disembah, bukan menjadikan syaitan sebagai rujukan kehidupan hingga ke lembah kehinaan yang amat teruk, tinggal bersama syaitan di dalam neraka selama-lamanya. Itulah misi syaitan yang berusaha keras menggoda manusia! Ayuh, marilah kita mantapkan iman kita, tingkatkan ketaqwaan kita, dekatkan diri kepada Allah sentiasa! Jangan kita termakan hasutan syaitan alaihi laknat dan marilah kita gagalkan misi syaitan ke atas diri kita!

Soal Nabi Muhammad yang ke 23: “Hai iblis! Siapa pula sahabat yang hampir kepada engkau?” lalu berkatalah Raja Iblis, “ iaitu orang yang meminum arak atau tuak, hisap candu atau ganja kerana bahayanya telah zahir membawa pecah-belah dan perkelahian dan penceraian.”

Soal Nabi Muhammad yang ke 24: “Hai Iblis! Siapa pula yang sekutu dan sedudukan dengan engkau?” maka jawab Raja Iblis, “ apabila bertemu antara lelaki dengan perempuan-perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan muda itu, hamba hiaskan mukanya dengan jelingan dan senyum yang menarik hati di antaranya dan apabila dipandang belakangnya maka terpandang lehernya yang halus dengan pinggang dan punggung yang bergerak-gerak membangkitkan nafsu baginya dan manakala dipandang hadapannya hamba hiaskan dadanya dengan bergerak-gerak kedua kuntum yang berada pada dadanya lalu hambapanah berbetulan pada jantung hati keduanya atau salah satu daripadanya hingga bergerak-gerak keinginan nafsu syahwatnya. Bermulalah orang yang tiada memelihara hatinya nescaya tiadalah terpelihara ia akan farajnya dan apabila tiada memeliharanya akan farajnya nescaya tiadalah ia akan terpelihara imannya.”

Soal Nabi Muhammad yang ke 26: “Hai Iblis! Di mana tempat perhimpunan engkau?” berkatalah Raja Iblis, “ Iaitu tiap-tiap rumah wayang dan tempat bermain joget dan seumpamanya seperti tempat percampuran antara pemuda dan pemudi”.

Soal Nabi Muhammad yang ke 28: “Hai Iblis! Apakah puji-pujian engkau?” maka sembah Iblis: “ iaitu suara orang yang menyanyi-nyanyi dan berpantun seloka dan suara sebagai bunyi-bunyian, kecuali orang yang menyanyi, berpantun, bernazam memuji tuhan kerana berlagu-lagu membaca nasyid dan selawat Nabi”.

Itulah sebahagian soalan dan jawapan yang terdapat dalam kisah pertemuan antara Nabi Muhammad dengan Raja Iblis. Sesungguhnya, jelas dan nyata, syaitan itu musuh yang nyata walau kehadirannya tidak dilihat dengan mata kasar kita.

Sabda Nabi- “bermula tiang dunia ini 4 perkara:- (1) dengan ilmu sekalian ulama, (2) dengan adil sekalian raja-raja (3) dengan kemurahan orang-orang kaya (4) dengan doanya sekalian orang-orang fakir. Maka, sekiranya di dunia ini tiada ulama nescaya binasa sekalian orang yang jahil dan sekiranya tiada adil sekalian raja nescaya memakan manusia ke atas manusia lain seperti harimau mengusir dan makan kambing. Sekiranya tiada kemurahan orang kaya nescaya binasa sekalian fakir miskin dan sekiranya tiada doa fakir miskin nescaya runtuhlah langit dan bumi”.

Semoga kisah ini dapat memberi kesedaran kepada kita bahawa syaitan alaihi laknat memusuhi manusia untuk menjadikan manusia kafir dan ingkar kepada perintah Allah. Berdoalah kepada Allah agar dipelihara kehidupan kita daripada tipu daya syaitan. Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan